PERTEMUAN SINGKAT

     Aku termenung sendirian. Mengenangkan yang aku kini jauh daripada keluarga. ‘Mak, ayah!! Shira rindu lah dengan korang..’ desis hatiku. Dari jauh aku melihat empat sekumpulan gadis datang dengan membawa beg masing-masing. Mereka tersenyum melihat ke arah aku dan berjalan menuju ke arahku. Aku menjeling. Hesy! Kalau aku tak kenangkan yang korang tu kawan dunia akhirat, lama dah aku baling beg ni sorang-sorang.. huh! Aku mengeluh.
                “Yerr!! Awalnya kau sampai, siap dengan beg yang begitu besar lagi tu..” kata Nurel kepada aku sambil ketawa. Aku dengan muka yang blur turut tersengih. Tapi, betul jugak! Yang aku ni macam nak pindah rumah je bawa beg yang besar sedangkan kawan aku yang lain bawa beg yang sederhana besar je.. hai!! Nasib!
                “Woi! Sayangku Shira, kita ni nak pergi camp untuk 3 hari 2 malam je.. Yang kau bawa banyak sangat barang ni apasal?” kata Nick sambil memegang beg di tepiku. Zihah dan Shasha pula ketawa tak habis-habis.
                “ Susah betul lah kalau ada orang yang tak pernah pergi camp ni..” sampuk Shasha dan disambut ketawa oleh Zihah. ‘Oo! Korang ketawa kat aku ya! Takpe..pasni kalau nak minta tolong jangan minta kat aku..’ kata aku dalam hati dan dengan selambanya aku mengangkat beg dan berjalan menuju ke arah bas. Mereka juga turut mengikutiku dari belakang. Setelah masuk di dalam bas, kami telah diberi dan ditetapkan tempat duduk. Aku melihat kawan-kawan aku dah mengenal pasti tempat duduk mereka. Tapi hanya aku yang belum menjumpai tempat dudukku. Aku mencari dan dan akhirnya aku temui juga tempat duduk aku.
                “Erm..boleh awak alihkan beg awak? Ni tempat duduk saya..” tanya aku kepada orang yang duduk di sebelah aku. Tapi, pertanyaan aku langsung tak diendahkan. Aku seolah-olah bercakap dengan kerusi dan bukannya insan yang bernama manusia. Mak ai!! Sombongnya kau! Mentang-mentanglah kau tu kacak tapi perangai macam tapir. Malah, lebih teruk dari tapir.
                Pemuda itu hanya memandang mukaku yang terkebil-kebil melihatnya dari tadi. “ Duduk lah, tadi nak sangat duduk..” kata pemuda itu sambil membuat muka yang paling aku benci. Muka sombong nak mampus! ‘Kau ingat aku nak sangat ke duduk dengan kau..” desis hati aku. Dengan kasar aku duduk di sebelahnya sambil menjeling ke arahnya. Aku melihat dia sedang merenung jauh di luar jendela bas.
                ‘Hurm! Confirm putus cinta..’ teka aku dalam hati.. biarlah, lebih baik aku layan mata ni.. haiii...mengantuk la pulak.


                Aku merasakan yang badan aku digerakkan oleh sesuatu. Dengan perlahan-lahan aku membuka mata. Terpampang sebuah wajah yang membuatkan aku tak ingin nak buka mata. Hey! Mamat psycho ni, mengacau betul lah!
                “Kau ni kenapa? Yang kau kacau aku tidur apasal? Nak cari gaduh ke?” jerit aku separuh bisik. Aku menjeling.
                “Woi! Yang kau marah aku apasal? Tu lah buat taik mata tak ingat dunia. Kita dah sampai lah. Aku nak keluar, tepi sikit.. Hesy! Perangai macam Mak Lampir..” ditolaknya aku ketepi dan berlalu untuk turun bas. Apa dia?? Aku?? Aku kau kata Mak Lampir!! Kau nak kena ni... Nanti kau!! Kau belum tau siapa aku.. Aku mengangkat beg lalu berjalan menuju ke pintu bas. Dengan marah aku melompat ke arah pemuda itu sehinggalah kami terjatuh.. Bush!!
                Aduh!! Eh! Peliknya.. apasal aku tak ada rasa sakit pulak ni.. Tetiba aku terdengar suara orang berdehem. Aku terkejut. Dengan pantasnya aku berdiri. Aduh! Macam mana aku boleh tertimpa kat badan dia pulak ni.. hesy! Buat malu aku lah! Kami berdua menjadi tumpuan orang ramai. Kawan-kawanku dari jauh tersenyum penuh makna. Tanpa meminta maaf aku berlalu meninggalkan dia yang sedang membersihkan bajunya yang kotor. Dari jauh aku memandangnya, kelihatan dia sedang rancak berbual dengan rakannya. ‘Hurm.. Apasal dia tak marah? Pelik sungguh lelaki itu..’ getus aku dalam hati. Mungkin dia sedang mengumpat aku. Ah! Biarlah, ada aku kisah..


                “ Okay.. semuanya ada disini. Kepada yang sudi menyertai Camp Summer ini, saya nak ucapkan ribuan terima kasih kerana anda peka terhadap aktiviti yang dianjurkan oleh Kelab Remaja. Mungkin ini kali pertama kem sebegini diadakan, tetapi saya harap kamu semua enjoy dengan dengan camp ini dan sentiasa mengikut peraturan agar camp ini berjalan dengan lancar. Saya sudah bahagikan kamu semua kepada lapan kumpulan. Nama kamu semuanya ada di dalam kertas yang saya pegang ini. Saya akan lekatkan kertas ini di hadapan dan saya akan beri kamu masa 10 minit untuk mencari ahli kumpulan kamu” setelah Encik Budir memberi taklimat untuk camp ini, kami pun diarahkan untuk mencari ahli  kumpulan kami berdasarkan 8 helai kertas yang dilekatkan di hadapan.
                Tiba-tiba, terdengar nama aku dipanggil. Aku mencari gerangan siapakah yang empunya suara itu, aku pun mencari, cari dan terus mencari dan tanpa diduga terpampang wajah seorang lelaki yang begitu aku benci dari pertama kali aku berjumpa dengannya.
                “Shira Sania” nama aku dipanggil bertalu-talu. Aku berjalan menuju ke arah dia dengan muka yang serius.
                “ Ya! Saya.. ada apa yang boleh saya bantu?” aku bertanya kepada lelaki itu tapi pertanyaan aku dibiarkan tanpa balasan. Dengan muka yang merah padam,aku rasa nak tumbuk je muka tapir ni kat dinding. Biar muka dia lebih teruk daripada muka tapir.
                “Sekarang ini kita satu group dan saya harap kamu semua berikan kerjasama untuk menjayakan aktiviti yang akan dijalankan” ujarnya dengan tegas. Selepas itu, kami telah diberi tugasan pertama untuk hari pertama kami menjejak ke Neverland Resort dimana kami semua berkenalan antara satu sama lain dan berbincang untuk nama kumpulan masing-masing tetapi itu haruslah nama bunga.
                “Saya telah dilantik menjadi ketua kumpulan ini. Nama saya Aarif Danial. Sekarang saya nak kamu semua kenalkan diri masing-masing” Bermulalah episod pertama iaitu perkenalkan diri. Sesudah ahli kumpulan yang lain memperkenalkan diri kini tiba giliran aku.
                “Hurm.. nama aku Shira Sania, korang boleh panggil aku Shira..” Hah!! Happynya aku.. nak tahu apa.. diaorang kata nama aku cantik cuma seorang itu je langsung tak ada respons.. Oops! Lupa pulak, muka tapir mana ada emosi. Aku tersenyum meleret.
                “Ok! Daripada kita dengar dia memperkenalkan diri lebih baik kita decide untuk nama kumpulan kita..” kata Aarif kepada ahli kumpulan yang lain. Aku yang berdiri tercengang-cengang apabila aku langsung tidak dihiraukan. Hesy! Dasar tapir...nanti kau tapir, aku tendang kau kuat-kuat biar kau balik semula ke tempat asal kau...” ketawa aku sendirian dan senyum tersengih-sengih. Tiba-tiba, aku rasa pelik...kenapa tak ada orang? Mana semua orang ni?? Dari jauh aku melihat Aarif melambai ke arah aku sambil ketawa terbahak-bahak. Dalam keadaan yang begitu marah, aku menjerit sekuat hati. Sehinggakan semua binatang, haiwan, serangga dan sekutu dengannya lari bertempiaran mendengarnya.
                “TAPIR!! AKU BENCI KAU!!!!!” jerit aku dengan kuat, menyebabkan aku ditegur oleh staf yang bekerja di resort pada hari itu.


                “Woi! Tapir apasal kau ni hah?!! Apa masalah kau dengan aku? Dari pertama kali kita berjumpa, kau tak habis-habis nak hancurkan hari aku.. kau ni kenapa ha??” tanya aku kepada Aarif. Sambil memegang topinya, dia dekatkan dirinya ke tubuhku dan memegang bahuku lalu ditolaknya aku ke tepi. Aku hampir terjatuh dan dengan selambanya dia meminta maaf tanpa perasaan yang ikhlas.
                “Maaflah.. tak sengaja tadi. Maaf, kalau aku hancurkan hari kau,tapi aku suka tengok kau marah... Comel sangat..” ujarnya sambil tersenyum sinis. Aku tersenyum.
                Well, aku tahu la yang aku ni comel, tapi...” kata-kata aku terhenti apabila terdengar dia ketawa.
                “Aku belum habis cakap lagi la.. kalau kau marah, comel sangat-sangat..sama macam Mak Lampir!!” dia ketawa terbahak-bahak. Tanpa sedar, tangan aku tak semena-menanya menampar mukanya. Puas hati aku!! Hmph!
                “Wahai, Tapir! Kalau aku Mak Lampir sekalipun, apa kaitannya dengan kau ha? Aku benci la dengan kau. Dasar tapir gila! By the way,tak sengaja ‘tertampar’ kau tadi..” kata aku dengan angkuh. Aku menjeling tajam ke arahnya. Rasa marah membuak-buak di dalam hatiku.
                “Aku maafkan. Patutlah kau tu dibuli, perangai teruk! Dahlah. Malaslah nak layan Mak Lampir macam kau ni.. Buang masa aku je..” Dia lantas berlalu.
                “Hey!! Tapir... Tunggulah.. aku nak tahu apa nama kumpulan kita.. woii! Pekak ke?” jerit aku dengan kuat. Namun, tiada sahutan. Dalam hati aku ini, rasa bersalah kian menebal. Kini, kelihatan bayang-bayangnya semakin hilang ditelan kegelapan malam. Malam itu, kami diberikan rehat. Esok pula, banyak aktiviti yang kami akan lakukan. Dikejauhan malam itu, aku merasakan yang aku patut minta maaf kat Aarif.
                ‘Aarif..aku minta maaf..’ suara hatiku berkata-kata. Aku terlelap bertemankan lampu tidur di bilik resort itu.. Esok akan bermulanya kisah baru.


                Keesokan harinya, kami diberi tugasan. Dalam pandangan aku, Neverland Resort ini sangat cantik dan indah, sesuai untuk orang yang suka melancong. Pagi itu, kami di arahkan untuk berkumpul dalam kumpulan masing-masing. Waktu itu, pukul 6 pagi, masih lagi kedengaran bunyi cengkerik dan kabus meliputi di sekeliling kami. Pitt!! Pitt!! Bunyi tiupan wisel kedengaran.
                “ Sekarang semua berkumpul mengikut kumpulan masing-masing..” arah Encik Budir dengan lembut namun tetap ada ketegasan dalam bicaranya itu.
                “Mana Si Tapir ni..” hatiku berkata-kata. Huh! Aku peduli apa. Lantaklah dia kat mana bukan urusan aku. Tapi mataku tetap mencari bayangannya namun hampa. Aktiviti dah nak bermula tapi ketua kumpulan kami masih belum lagi tiba. Hatiku tak keruan. Tanpa sengaja, aku terpandang seraut wajah di dalam kesamaran kabus.. “Ya Allah!” mataku tidak terlepas pandang melihatnya. Dalam diam aku memuji dirinya.
                “ Baiklah. Memandangkan aktiviti ini dijalankan sebentar lagi. Saya nak tahu nama kumpulan kamu semua.” Aku mengeluh perlahan. Sejujurnya, aku tak enjoy dengan camp ini. Aku lihat Nurel, Shasha, Nick dan Zihah enjoy sedangkan aku..sedihnya hidup!!

                “Kumpulan Bunga Tulip,sila angkat tangan.” Aku mendongak. Aku melihat ahli kumpulanku mengangkat tangan. Aku terasa pelik. Oh! Ini rupanya nama kumpulan aku. Hurm,cantik dan indah nama itu seindah bunganya. Aku curi memandang wajah Aarif. Aku menghembus nafas dengan perlahan. Dengan perlahan-lahan, aku berjalan ke arah Aarif.
                “Aarif, aku nak minta maaf pasal hari itu” dia mengangguk-anggukkan kepalanya sahaja. Aku cuba mencari ruang untuk bercakap dengannya.
                “Kenapa kau letak nama kumpulan kita, Bunga Tulip?”
                “Apasal? Tak cantik ke??”mukanya tetap serius. Hatiku gelisah.
                “Tak lah. Cantik nama tu..tapi kenapa?”
                “Saja je.. Bunga itu cantik, lagipun aku suka bunga tu..” Aku kurang selesa dengan layanannya terhadap aku. Terlalu dingin, lantas aku berlalu. Tiba-tiba langkahku terhenti, ada seseorang yang menahan lenganku. Aku berpaling.
                “Nak pergi mana tu? Kat sini je lah, temankan aku. Tak lama lagi aktiviti nak dijalankan” akhirnya dia tersenyum. Timbul perasaan suka di hatiku. Selepas itu, kami pun menjalankan aktiviti yang dianjurkan. Sejujurnya, Aarif bukanlah lelaki yang sombong yang aku sangkakan tapi dia baik dan prihatin. Hari ini, banyak kenangan yang kami berdua lalui bersama. Tak akan ada yang tertinggal oleh waktu kerana setiap saat aku bersamanya. Aku terfikir, perlukah aku letakkan kenangan itu di dalam setiap lembaran kisah lalu ku nanti.. tapi pertemuan ini akan berakhir apabila matahari esok akan terbit dan siang akan menjelma.. Aarif, beginikah akhirnya kisah kita?


                Sekarang sudah menjangkau pukul 7 pagi, kami diminta berkumpul di tempat pendaftaran. Aku mengeluh perlahan. Rasa sedih pulak nak berpisah dengan dengan kawan baru ni. Selepas setiap kumpulan membuat tugasan terakhir ini, kami akan melangkah pergi meninggalkan resort ini. Tugasan terakhir kami ialah membuat persembahan dimana salah seorang akan mendendangkan sebuah lagu, tapi ia haruslah melibatkan kerjasama antara kumpulan. Kumpulan kami mendendangkan lagu berjudul ‘Perpisahan Ini’.
                “Shira!!” aku berpaling, kelihatan Aarif menuju ke arahku sambil membawa gitarnya di belakangnya.
                “Aarif! Kenapa kau panggil aku?” tanyaku spontan kepadanya.
                “ Boleh tak kau duduk dengan aku dalam bas nanti?”
                “Apasal pulak? Hurmm.. Tengoklah nanti.” Ujarku selamba.
                “Ok..” jawabnya pendek. Dia pun berlalu. Sebentar lagi dia akan mendendangkan lagu. Aku melihat ke atas pentas, kelihatan Aarif sedang mengatur posisi mikrofon di gitar dan mulutnya. Dia pun mendendang lagu ‘Perpisahan Ini’ dengan sorakan orang ramai. Selepas habis mendendangkan lagu tersebut, dia pun membuat ucapan untuk kata-kata terakhir sebagai wakil kumpulan kami.
                “Terima kasih semua. Hurm, sebelum itu, izinkan saya menyanyikan sebuah lagu ini untuk seorang gadis yang pertama kali membuat saya bersemangat untuk enjoy sepanjang camp ini. Awak! Lagu ini untuk awak.” Dia tersenyum sambil memandang ke arah aku. Aku berpura-pura tidak tahu. Orang ramai bersorak girang seperti tidak sabar mendengar lagunya. Kedengaran bunyi gitar dipetik maka bermulalah lagu itu...

Ku selalu menyakiti dan sering berdusta
Dan membuat kau tinggalkan aku
Pertelingkahan kita selalu tiada akhirnya
Melemaskanmu dalam cintaku
Menantimu hingga kau kembali
Dan mencuba menjaga hatimu
Setia dan hidupku
Selalu denganmu
Menemaniku hingga akhir waktu
Kenangan indah ketika kita bersama
Membuatku terbayangkan kamu
Ku tahu cintaku tersemat dihatiku
Aku yakin hanya kau untukku
Aku kan menunggu hingga kita kan bersama
Kau akan selalu ku cinta

Secara tiba-tiba, air mataku menitis. Lagu ‘Menunggu’ oleh Akim itu sangat sayu dan indah dinyanyikan oleh Aarif. Kami pun di umumkan sebagai pemenang untuk tugasan terakhir ini. Di atas pentas, Aarif melambai ke arah aku. Aku tersenyum hambar.


Di dalam bas....

                “Nurel, aku duduk kat mana?” tanya aku kepada Nurel. Kelihatan Shasha, Nick dan Zihah sedang sibuk melayan kawan baru mereka. Sudah ada kawan baru mana nak ingat kawan lama.
                “Ehh..mana tempat duduk kau hari itu? Kami ikut tempat duduk hari itu, kau dah lupa ke?” jawab Nurel sambil mencari tempat duduknya.
                “Oh! Ya ke? Thanks sebab sudi tolong aku. Tak macam 3 orang tu, langsung tak hiraukan aku..” kataku sedikit besar. Kelihatan Shasha, Nick dan Zihah berpaling antara satu sama lain. Aku menjeling sinis ke arah mereka lalu aku pergi mencari tempat dudukku. Tiba-tiba, lenganku ditarik oleh seseorang sehingga aku terduduk di kerusi bas itu. Aku berpaling di sebelahku. Aarif Danial tersenyum kepadaku.
                “Tak reti nak ajak baik-baik ke?”
                Sorry lah Shira. Jangan marah okay, saja nak bagi awak surprise..” Aku tersenyum hambar.
                “Aarif, walaupun kita berkenalan tidak lama tapi aku bersyukur sebab dapat kenal dengan kau..” Dia mengangguk kepalanya dan tersenyum. Tiba-tiba, handphone aku bergetar-getar. Rupanya aku menerima mesej. Aku membaca mesej tersebut.
                ‘Shira,don’t worry, kita semua tak lupakan kau. Jangan marah ok..’ Aku tersenyum.
                “Oh! Aarif..” Aku berpaling. Pertanyaanku terhenti di situ. Kelihatan Aarif sedang lena tidur di sebelahku. Aku memandangnya dengan penuh harapan. ‘AARIF DANIAL’ kata hatiku berulang-ulang kali. Aku melemparkan pandangan di luar jendela bas. Kelihatan titisan hujan membasahi cermin bas. Ahh! Hujanlah. Aku mengeluh panjang. Aku kembali berpaling ke arah Aarif.
                “Aarif, mungkin inikah tandanya pertemuan singkat antara kita? Mungkin aku sudah jatuh suka dengan kau. Tapi, tak mungkin kau suka dengan aku dalam pertemuan singkat antara kita. Andai kita ada jodoh, InsyaAllah kita akan bertemu di lain hari..” kata aku separuh bisik kepada Aarif. Namun sayang, dia sedang lena dibuai mimpi. Aku mengambil kameraku di dalam beg. Lantas aku mengambil gambar Aarif untuk kali terakhir. Gambar ketika dia tidur, nampak comel sangat. Aku membelakangi Aarif. Mataku terasa berat sangat.. Lelahnya aku!! Tanpa disedari, aku sudah terlelap dan lena di samping Aarif Danial.


AARIF DANIAL

                Setelah Shira terlelap di tepinya, Aarif membuka matanya. Dia tersenyum.
                “Aku pun sukakan kau. Aku akan tunggu kau sekiranya kau betul-betul jodoh aku..” pandangan Aarif ke arah Shira terselit dengan penuh makna. Dia tidak pernah menyesal dengan pertemuan ini. Dulu, dia pernah terpisah dengan seorang gadis dalam pertemuan yang amat singkat. Sebab itu, dia tidak pernah menyalahkan pertemuan yang terbina selama 3 hari ini.
                ‘Shira Sania’ hatinya menyebut nama Shira berulang-ulang kali. Selepas itu, dia mengambil sesuatu di dalam beg. Sebuah kotak yang sangat kreatif. Sehari suntuk dia membuat kotak itu sebelum hari terakhir mereka berpisah.
                “Shira, selamat tinggal...............”


SHIRA SANIA

                “Shira, bangunlah. Dah sampai ni, tak nak balik ke?” Shasha kejutkan aku dari lenaku. Aku menggeliat.
                “Aku dah bangun ni. Nanti aku menyusul korang” Aku menguap lagi. Tiba-tiba, aku rasa pelik. Yalah! Aarif Danial, dia tak ada kat sebelah aku. Terlihat Zihah dan Nick sedang keluar dari bas. Aku memanggil mereka.
                “Zihah...Nick..” mereka berpaling.
                “Nampak Aarif tak?”
                “Oh! Lelaki tu.. dia dah turun awal tadi. Sebelum sampai kat sini tadi..” kata Zihah kepada ku. Aku mengangguk tanda faham.
                “Apahal dia tak gerakkan aku?” Aku pun mengemas beg, bersedia untuk keluar dari bas. Tiba-tiba, terjatuh sebuah kotak kecil dan isinya terkeluar. Lalu aku mengambil dan isinya adalah berisi seuntai gelang. Gelang yang abah beri kepadaku. Sejak bila gelang ini hilang? Dalam kotak tersebut, terselit sekeping kertas berwarna hijau...


SHIRA SANIA.....
             Maaflah, baru sekarang aku dapat kembalikan gelang kau. Mesti kau tertanya-tanya kenapa gelang ni ada kat aku. Ingat tak! Semasa kau jatuh kat aku dari bas pada first day kita jumpa.. masa tu gelang kau tersangkut kat baju aku. Shira, aku harap kau jangan la lupakan aku ye... Kalau ada jodoh, InsyaAllah kita pasti akan berjumpa lagi. Bye...
                                        AARIF DANIAL.....





Aku tersenyum hambar. ‘Mungkin juga kita akan bertemu lagi, Aarif.. Hah!! Shira, ingatlah, selepas ini, mulakan kisah baru. Lupakan kenangan lama.’ Aku melangkah dan melihat Nurel, Zihah, Nick dan Shasha sedang melambai ke arah aku. Aku tersenyum.
                “Woi! Tunggulah aku..” aku berlari ke arah mereka dengan penuh semangat.


3 bulan kemudian....

                Aku melihat orang lalu lalang. Mendengar bunyi kereta, bunyi air hujan yang sedang menitis jatuh menyembah bumi. Kini, aku sedang mencari kembali kenangan yang lama aku tinggalkan. Aku dongakkan kepalaku. Kelihatan dari atas langit, air hujan turun beribu-ribu mambasahi mukaku. Aku biarkan diriku basah dek hujan.
                ‘Aarif, aku rindu dengan kau. Kadang-kadang, aku ingin saja menyalahkan pertemuan ini. Pertemuan yang membuat aku menderita menanti hari. Kadang-kadang aku memikir kembali tentang pertemuan kita. Pertemuan yang singkat. Apakah mungkin, pertemuan kedua ini masih lagi berpihak kepada kita? Cuma aku tak tahu bila agaknya pertemuan itu. Adakah ia terlalu singkat berbanding pertemuan pertama kita? Aku tak tahu Aarif...’ hatiku berkata-kata. Tiba-tiba aku dilanggar oleh seseorang. Namun, aku tak mempedulikannya. Biarlah apa yang orang kata. Aku cuma mencari kenangan itu....
                Sorry, cik.. Saya tak sengaja..” kata seorang lelaki. Namun, tiada sahutan dari bibirku. Aku leka melayan perasaanku yang hiba ini...
                ‘Adakah aku terlalu merinduimu Aarif sehingga aku terdengar suaramu dari mulut lelaki itu tadi atau, itu cuma imaginasiku sahaja..’ hatiku masih berkata-kata. Mungkin itu bukan Aarif. Yang pastinya aku kenal suara lelaki itu... itu suara Aarif. Namun, suara itu samar-samar dan tidak jelas kerana ia semakin jauh seolah dibuai angin lalu.
                “Ya Allah, tolonglah hilangkan rindu aku yang satu ini..” rintihku... tinggallah aku disitu dibasahi hujan. Hidup ini bukan semudah yang kita sangka-sangkakan. Kadang-kadang, ia penuh dengan misteri dan kenangan yang tak dapat kita lupakan. Seandainya, ada lagi peluang kedua itu, aku pasti tak akan sia-siakan.... Itu janjiku......




**************TAMAT**************




Hasil karya,
Nur Elnie Ellieyanna Binti Abdullah

Comments

Popular Posts